Dr Anun Man

DR. ANUN BINTI MAN

PENGARAH

JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR NEGERI PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya laman web rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (DVS Penang) dapat dilaksana bagi memenuhi keperluan pengunjung yang melayari Laman Web Jabatan bagi mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan serta perkara-perkara yang memudahkan orang ramai berurusan dengan Jabatan ini. Melalui laman ini juga kami dapat menyebarkan maklumat-maklumat mengenai Jabatan seperti Misi, Visi, Objektif, Fungsi, Motto serta Carta Organisasinya.

DVS Penang terlibat memberi perkhidmatan dengan teras aktiviti di dalam aspek kesihatan dan kawalan penyakit haiwan, serta pembangunan komoditi ternakan. Perkhidmatan yang diberikan juga termasuk kepastian kualiti untuk produk-produk berasaskan ternakan serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan veterinar. DVS  Penang juga menyediakan perkhidmatan konsultansi dan bimbingan kepada bakal-bakal pengusaha ternakan dan pengusaha yang telah pun berkecimpung di dalam bidang penternakan.

Selaras dengan keperluan semasa, DVS Penang telah menggalakkan penggunaan teknologi terkini di dalam sistem penternakan terutama sistem yang mesra alam dan mematuhi piawaian antarabangsa. Pegawai-pegawai DVS Penang telah diberikan pendedahan di dalam teknologi terkini sama ada di dalam atau di luar negara agar dapat memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan DVS Penang.

Selain itu, DVS  Penang juga mempunyai tanggungjawab sosial di dalam pembasmian kemiskinan melalui penglibatan di dalam program micro-credit dan mempelbagaikan pendapatan terutama melalui pengeluaran produk asas ternakan (makanan dan bukan makanan). Program-program ternakan juga telah dikenalpasti sebagai satu daripada program yang dapat memperkayakan ekonomi desa.

Adalah diharapkan Laman Web Rasmi Jabatan ini dapat memberi kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkenaan perkhidmatan yang disediakan serta maklumat terkini berkenaan aktiviti jabatan. Pihak jabatan mengalu-alukan maklumbalas dan pandangan yang membina bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan supaya produk daripada hasilan ternakan mencapai kualiti keselamatan makanan yang ditetapkan, dan kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara melalui kawalan penyakit zoonotik dan haiwan kesayangan.

Selain dari menyediakan maklumat, laman web ini diharapkan juga menjadi landasan penghubung langsung antara orang awam dengan DVS Penang . Maklum balas dan komen adalah dialu-alukan dan digalakan. Ini akan membolehkan DVS Penang memperbaiki lagi laman web ini dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada pengusaha ternakan, pemilik haiwan dan orang awam.

Selamat melayari Laman Web Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

Sekian. Wassalam.